Pages

Saturday, March 05, 2016

Rahmat atau laknat

Pernah suatu ketika, seorang agamawan bertanya kepada seorang khatib muda tentang kelayakan dan keupayaan khatib muda itu menasihati orang awam. Bagi agamawan ini, sebelum menasihati orang maka seseorang itu perlu menjalani proses suluk (tasawuf) terlebih dahulu. Bukannya salahpun kalau mahu bersuluk dahulu, tetapi jika ini menjadi syarat wajib menjadi khatib maka suatu ketika solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan kerana tidak ada orang yang layak menasihati orang awam.

“Sudahlah, sekolah tinggi-tinggi pun kalau tidak ada kerja, apa guna. Orang makan nasi bukan ilmu” Kata Pak L kepada iyad. Iyad seorang lulusan Ijazah Sains Komputer, sering berdakwah mengajak masyarakat di kampungnya agar lebih mendekatkan diri kepada ajaran agama. Malangnya, usahanya tidak disenangi oleh orang kampungnya sendiri khususnya, di kalangan agamawan. Iyad juga tidak bekerja, hanya berharap kepada belas ihsan isterinya sebagai seorang guru sekolah.

“Anak saya tu, guru, mana ada orang yang boleh lawan dia, dia pandai, kalau macam kamu ni, setakat di tapak kakinya sahaja” Pak L menambah sambil menepuk-nepuk tapak kakinya. Merah menyala renungan mata Pak L kepada Iyad, kecil sangat di pandangnya cucu saudaranya itu, seakan-akan mahu ditelannya. Bagi Pak L dan sebahagian besar orang kampong, Iyad tidak layak menasihati orang lain, sudahlah tidak berpendidikan agama, jurusan pula tidak ada kaitan langsung dengan pendidikan agama.

Iyad mengeleng-ngeleng kepala, dia sedar orang kampungnya tidak mengetahui yang dia belajar agama secara sambilan. Berbanding orang lain di kampungnya, Iyad lebih fasih dan faham al-Qur’an. Iyad beralah meninggalkan Pak L dengan kemarahannya. Iyad sedar langkah-langkah dakwahnya semakin perlahan dek kerana tantangan orang-orang kampungnya itu tapi, tidak apa yang penting istiqamah, cetus hati Iyad.

Senario di atas berlaku di dalam masyarakat kita. Ramai yang menjalankan kerja dakwah tetapi, mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak berpendapatan. Masyarakat pula, sering menjadikan kelemahan para dai yang seumpama ini untuk menolak dakwah mereka. Pendek kata, masyarakat mahu, mereka yang menjadi dai ini mestilah seorang yang tidak ada cacat-cela, semua hal kehidupannya mestilah serba sempurna. Paras menawan, akhlak boleh tahan, hartawan, dermawan, dan bermacam lagi syarat-syarat tambahan.

Pernah suatu ketika, seorang agamawan bertanya kepada seorang khatib muda tentang kelayakan dan keupayaan khatib muda itu menasihati orang awam. Bagi agamawan ini, sebelum menasihati orang maka seseorang itu perlu menjalani proses suluk (tasawuf) terlebih dahulu. Bukannya salahpun kalau mahu bersuluk dahulu, tetapi jika ini menjadi syarat wajib menjadi khatib maka suatu ketika solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan kerana tidak ada orang yang layak menasihati orang awam.

Akhlak dan ikhlas tidak pernah diletakkan di dalam mana-mana syarat ibadat, baik ibadat umum mahupun ibadat khusus. Akhlak dan ikhlas adalah motif suluk manakala, ibadat bukan proses khusus tasawuf. Ibadat adalah proses khusus untuk menunjukkan pengabdian kita kepada khalik, natijahnya adalah akhlak dan ikhlas. Faham mudah begini, minum air kerana kita haus, natijahnya adalah rasa kenyang. Belum pernah secara rasional seseorang mencari air kerana dia lapar, tetapi seseorang mencari air kerana dia haus, sebaik sahaja dia minum, ada ketika rasa haus hilang dengan sekali teguk lalu dia berhenti minum tetapi tidak menghairankan sangat jika ada orang yang akhirnya berhenti minum kerana merasa perutnya sudah penuh air. Berbalik kepada ibadat tadi maka, seseorang itu beribadat kerana fitrah manusia yang memerlukan penciptanya, maka makin tekun dia beribadat, makin teguhlah pengabdiannya kepada tuhannya, lalu akhlaknya dan keikhlasannya semakin terserlah.

Dalam proses menekuni ibadat, tidak sama sekali kita ditegah mengajak orang, malah dalam suasana tertentu mengajak orang ini menjadi fardhu hukumnya contohnya ketika kemungkaran sudah semakin berleluasa. “Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada mereka yang mengajak kepada jalan Allah” – alQuran. Merupakan seruan Allah kepada kita agar melaksanakan tanggungjawab dakwah sekalipun akhlak dan keikhlasan kita belum sempurna. Hakikatnya, tidak akan ada manusia (selain nabi Muhammad) yang sempurna akhlak dan ikhlasnya.

Berbalik kepada kisah pendek di atas, ramai yang menganggap kerjaya yang baik dan harta yang bertimbun adalah kurniaan Allah kepada seseorang kerana Allah sayang dengannya. Ramai yang bekerja dengan pangkat tinggi menganggap bahawa Allah belas ihsan kepadanya, sebab itulah dia diberikan kerjaya yang baik dan bergaji tinggi. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa dia layak menjawat sesuatu pekerjaan kerana dia pintar berbanding orang lain. Tanggapan seperti ini sangat jauh meleset daripada tanggapan yang rasional dan sangat jauh daripada menepati syariat.

Jika benarlah bahawa Allah mengurniakan kita kerja yang baik kerana Allah sayang kita maka cuba jelaskan pula seorang yang terbukti tidak pernah solat, malah tidak mengimani Allah sebagai tuhannya tetapi kerjanya juga baik dan bergaji tinggi. Jika benarlah bahawa Allah mengurniakan kita kerjaya yang hebat kerana kepintaran kita, maka cuba pula jelaskan, bahawa ada sesetengah daripada kita bekerja dengan orang yang tidak pun tinggi mana sekolahnya. Adakah dia boleh menjadi boss kerana dia pintar semata-mata. Manakala, ada yang terbukti lebih pintar daripada kita tetapi tidak bekerjaya hebat malah ada sebahagiannya tidak bekerja langsung.

Ada sebahagian orang mengatakan bahawa seseorang itu kurang atau tidak berjaya kerana kurang usahanya, tidak tekun bekerja. Tetapi, hakikatnya ada juga sebahagian daripada kita yang bekerja siang malam, sehingga satu tahap dia menggugurkan terus kewajibannya kepada tuhannya, semata-mata mahu kuat mencari rezeki. Tetapi, tidak juga kaya-raya.

Jadi semuanya serba subjektif, boleh jadi kurniaan itu sememangnya rahmat kepada kita, boleh jadi juga rahmat itu kerana Allah sememangnya sayang dengan kita. Tetapi, mungkin juga kurniaan itu adalah laknat kepada kita, boleh jadi juga laknat itu kerana Allah benci kita. Sebab itulah nabi Sulaiman ketika mana ia dikurniakan kehebatan dapat mendengar dan memahami bahasa binatang (dalam hal ini semut), serta-merta baginda berkata “sesungguhnya Allah sedang mengujiku sama ada aku bersyukur atau kufur, jika aku bersyukur maka kebaikanlah untuk diriku sendiri”.

Tidak pernah sama sekali nabi Sulaiman dikhabarkan pernah berkata bahawa Allah sayang kepadanya sebab itulah dia mendapat rahmat. Tidak pernah juga para nabi diberitakan apabila mendapat bala lalu mereka menganggap bahawa Allah sudah tidak sayang mereka lagi.

Rahmat yang melimpah yang Allah kurniakan kepada kita, merupakan amanah yang pasti menambahkan lagi jumlah soalan yang akan kita jawab di hadapan Rabbulalamin kelak. Bala pula pasti akan memberikan kebaikan kepada kita waima terkena duri sekalipun, akan diberikan pahala berlipat-ganda.